Memanfaatkan Masa Lapang
Termasuk
antara nikmat Allah yang kebanyakan manusia lalai dan lengah
terhadapnya, mereka tidak tahu menghargainya dan mereka tidak
mensyukurinya dengan baik ialah nikmat “masa lapang”.
Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas, sabda Rasulullah s.a.w:
Terdapat dua nikmat di mana kebanyakan manusia menderita kerugian di dalamnya iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang.”
“Masa
lapang” ini maksudnya ialah kekosongan daripada berbagai kesibukan dan
perkara-perkara keduniaan yang menghalang dan melarang seseorang
daripada melakukan urusan-urusan akhirat.
Hal ini tidak
bertentangan dengan apa yang dijelaskan dalam beberapa ayat al-Quran dan
hadis berkenaan dengan galakan atau dorongan berusaha dan mencari
sumber kehidupan, selagi hal yang demikian tidak menyebabkannya
tenggelam dalam gelombang dan tuntutan kehidupan, dan tidak pula
menghalangnya daripada melaksanakan peraturan Allah SWT.
Istilah
atau perkataan “tertipu” yang terdapat dalam sabda Rasulullah di atas
pada asalnya digunakan dalam kegiatan jual beli dan perdagangan. Jadi
dalam hadis ini seperti yang dikatakan Syeikh Al Manawi:
“Seorang
mukallaf diumpamakan dengan “peniaga”. Modal utamanya ialah “kesihatan”
dan “masa lapang”. Kerana kesihatan dan masa lapang adalah antara
faktor penting dalam mencapai keuntungan dan faktor asas dalam menuju
“kejayaan”. Sesiapa yang berinteraksi dengan jalan menjunjung segala
perintah-Nya, dia akan memperoleh “keuntungan”. Sesiapa yang
berinteraksi dengan syaitan dengan memperturutkan kehendaknya, dia telah
menyia-nyiakan “modal” perniagaan (yang merupakan anugerah Allah yang
tidak dapat dinilai harganya).”
Terdapat dalam hadis lain sabda Rasulullah s.a.w:
“Rebutlah
keuntungan (dalam) lima perkara sebelum (datang) lima perkara: masa
hidup sebelum mati; sihat sebelum sakit; lapang sebelum sibuk; muda
sebelum tua dan masa kaya sebelum miskin.”
Masa lapang tidak akan
tetap kosong buat selama-lamanya. Ia akan tetap diisi sama ada dengan
perkara yang baik atau perkara yang tidak baik. Sesiapa yang tidak
mencipta kesibukan dirinya dengan perkara yang benar (haq), dia akan
memiliki kesibukan yang sia-sia (batil). Justeru itu, beruntunglah orang
yang mengisi masanya dengan kebaikan dan amal saleh; dan celakalah
orang-orang yang mengisi masanya dengan kejahatan dan kebinasaan.
Berkata sebahagian golongan saleh:
“Masa
lapang setelah menyelesaikan tugas dan pekerjaan adalah merupakan
nikmat yang paling besar. Maka jika seseorang hamba mengkufuri nikmat
masa lapang ini dengan cara membuka pintu “hawa nafsu” terhadap dirinya;
dan dia terbawa-bawa atau hanyut dalam kepimpinan syahwat dan hawa
nafsu, Allah akan menciptakan “kekacauan” di dalam hatinya yang
merupakan nikmat utama yang diberikan Allah; dan Allah akan mencabut
kebersihan dan ketenangan hati yang pernah dianugerahkan Allah ke
atasnya.”
Ibnu ‘Athaillah Al-Iskandari, dalam kitabnya (Al-Hikam) mengatakan:
“Satu
kerugian dan kehinaan yang besar iaitu anda selesai melaksanakan
kesibukan dan pekerjaan anda, lalu anda tidak menghadap Allah; dan
bebananmu telah berkurang, tapi engkau tidak bergerak menuju
(keredaan)Nya. Yakni Kekasih dan Pelindung hamba Jalla Jalaluhu.”
Golongan
salaf zaman lampau sangat membenci lelaki yang tidak memiliki sebarang
pekerjaan, yakni urusan agama tidak; mengenai perkara keduniaan pun
tidak. Dengan demikian nikmat masa lapang tersebut baginya bertukar
menjadi bencana, sama ada lelaki atau wanita. Oleh yang demikian
dikatakan “Masa kosong bagi lelaki adalah satu kealpaan; dan bagi wanita
adalah satu rangsangan syahwat.” Yakni perkara yang akan membangkitkan
nafsu dan pemikiran mengenai perkara yang berhubungkait dengan syahwat.
Bukankah sebab terpikat dan tergodanya isteri Al-Aziz terhadap Nabi
Yusuf a.s. dan perangkap yang diciptakannya untuk memikat Nabi Yusuf
disebabkan masa terpuang atau masa lapang yang sedang dilaluinya. Bahaya
masa terluang ini akan lebih serius lagi bagi para golongan remaja yang
memiliki kekuatan naluri atau kecenderungan hawa nafsu. Apa lagi jika
remaja tersebut memiliki kemampuan kewangan yang membolehkannya mencapai
apa saja yang diingininya.
Dalam hal ini, Abu ‘Athaillah dalam syairnya mengatakan:
Sesungguhnya usia muda, kekosongan masa dan kemewahan,
adalah punca kebinasaan seseorang dalam bentuk kebinasaan apa saja.
Penyair lain berkata:
Sungguh masa lapang telah mendorongnya melakukan perkara yang menyusahkan dirinya.
Punca bala bencana adalah dari kekosongan masa.
Maksudnya,
dia terdedah kepada kebinasaan disebabkan masa kosong yang telah
merangsangnya, yakni kesibukan hati dan keterpautannya dengan
permasalahan hawa nafsu serta dibuai angan-angan yang panjang. Hal di
mana ianya hanya tidak akan mendatangkan hasil kecuali kesudahan yang
buruk di dunia dan di akhirat.
(Petikan dari buku Nilai & Harga Waktu)
Sumber : http://halaqah.net
No comments:
Post a Comment