Wednesday 14 November 2012

PENDIDIKAN PEMULIHAN



KONSEP PENDIDIKAN PEMULIHAN
Program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru bilik darjah atau guru mata pelajaran dengan langkah-langkah yang berbeza bergantung kepada jenis masalah

DEFINISI PENDIDIKAN PEMULIHAN
Menurut Kamus Dewan, perkataan pulih bermaksud kembali seperti biasa, sembuh, atau baik semula. Maksud perkataan pulih di sini adalah berkait rapat dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan daalm pembelajaran. Pendidikan pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha-usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan dan membetulkan sesuatu yang tidak betul. Ianya bertujuan untuk mengatasi masalah kelemahan yang dihadapi oleh guru dan murid dalam proses pengajaran dan pemulihan.

Koh Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan adalah terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai pembelajaran pada tahap yang sepatutnya dicapai.

Sampson (1975) pula mentafsirkan pendidikan pemulihan merupakan tindakan-tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingakn daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.

RASIONAL PENDIDIKAN PEMULIHAN
Murid-murid merupakan indidvidu-individu yang berbeza dari segi pengalaman, minat, dan kebolehan. Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak diberi perhatian boleh menjadi punca masalah yang utama kepada kegagalan pencapaian objektif-objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.
  
Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang telah dikeluarkan, beberapa penetapan telah dibuat sebagai langkah untuk mengatasi masalah-masalah yang terdapat dalam sistem persekolahan. Antaranya ialah :
a.       kenaikan darjah secara automatik seperti yang berlaku sekarang dikekalkan dan mereka yang lemah dalam bidang kemahiran tertentu diberi pendidikan pemulihan.
b.      Kurikulum yang ada sekarang hendaklah disusun semula supaya dapat diubah suai bukan sahaja untuk membolehkan murid-murid yang lemah mencapai kemahiran asas bahkan membolehkan murid yang cerdas bertambah maju.
c.      Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha-usaha untuk membaiki dan meninggikan taraf pendidikan di kawasan-kawasan yang mundur sejajar dengan dasar kerajaan.
d.     Usaha untuk merapatkan hubungan antara sekolah dengan masyarakat hendaklah dijalankan dengan sepenuhnya melalui kegiatan-kegiatan PIBG..
e.     Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan dan Rancangan Makanan Tambahan diteruskan kerana faedah-faedah yang diperoleh.

MATLAMAT PENDIDIKAN PEMULIHAN
Antara matlamat utama program pemulihan ialah :
a.        membantu murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran untuk menguasai kemahiran tertentu,
b.      membantu murid-murid membetulkan sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran
c.       memupuk serta mengembangkan keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

OBJEKTIF PENDIDIKAN PEMULIHAN
Program ini bertujuan untuk membolehkan murid-murid :
a.       menguasai kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang dipilih dan menggunakan bahan-bahan yang bersesuaian dengan kemampuan murid
b.      mendapatkan layanan dan kemudahan yang sesuai dengan keupayaan dan perkembangan mental individu
c.       mengurangkan beban masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang lemah melalui bantuan guru dan pihak yang berkenaan (pihak sekolah dan ibu bapa),
d.      mengembangkan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke tahap yang lebih maju, memperoleh serta mengukuhkan keyakinan diri dan sifat berdikari apabila berada dalam kumpulan dan masyarakat
e.      mendapat peluang yang sama seperti rakan-rakan mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial di dalam dan di luar bilik darjah
f.        meneruskan pelajaran dalam sistem persekolahan biasa atau sekolah khas yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

KUMPULAN SASARAN PENDIDIKAN PEMULIHAN
 Pendidikan pemulihan dijalankan untuk menampung keperluan-keperlaun murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecaacatan akal atau terencat akal :
1.  Masalah pembelajaran akibat:
a.  ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
b.  sering tidak ahdir ke sekolah
c.  cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
d.  leka dan lambat
2.  Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
A.  masalah peribadi
b.  masalah psikologi
c.  kurang kecerdasan iaitu almbat berfikir, bertindak, cepat lupa, sukar memahami dan lemah  
    pengamatan

No comments:

Post a Comment